Insan Tak Berdosa (BAB 3)

                                                               
   
     "Lari lagi satu pusingan."
     "Cepat cepat!'
     "Perlu banyak stamina. Kumpul stamina, kumpul stamina." Puan Fadzilah terus-terusan menjerit memberi arahan kepada murid-muridnya.
     "Aduh, letihlah kalau setiap hari begini." Sofia merungut di dalam hati.
     "Wahai cikgu, sesungguhnya anak muridmu ini sudah sedia kurus, tidak perlulah engkau bersusah payah mahu menambahkan kekurusannya lagi." Sempat Sofia merangka ayat dramatis di tengah-tengah panas ini.
     Latihan bola jaring diteruskan sehingga jam 5:30 petang. Jauh di sudut padang, kelihatan seorang lelaki sedang memerhatikan segala gerak-geri Sofia. Sudah dua tahun dia memerhatikan gelagat gadis itu. Makin diperhati, makin menarik pula jadinya. Sofia memang seorang gadis yang cantik, setiap mata yang memandangnya pasti tertarik. Sekali pandang sahaja sudah bisa angau, jika berkali-kali dipandang lagilah boleh sasau dibuatnya.
     "Yeayyy!"
     "Woohooo!"
     Terdengar sorakan riang gadis-gadis SMK Tuanku Badlishah yang menyertai pasukan bola jaring. Puan Fadzilah memberi kelonggaran kepada mereka untuk berehat selama tiga hari. Latihan pada minggu ini dibatalkan kerana Puan Fadzilah akan menghadiri kursus di Pulau Pinang selama tiga hari. Betapa gembiranya mereka, terasa bagai baru terlepas dari penjara.
     Sofia lega dengan berita baik yang baru diterimanya. Dapatlah dia berehat dan menumpukan perhatian pada pelajarannya buat sementara waktu. Peperiksaan SPM tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Banyak matapelajaran yang dia ketinggalan. Mahu meminjam nota dari rakan sekelas? Dia bukannya rapat dengan sesiapa di dalam kelas itu.
     "Haih, bagaimana mahu mendapatkan nota-nota yang aku ketinggalan itu ya?" Sofia berbisik pada dirinya sendiri.
     "Saya boleh membantu, itu pun jika awak sudi." Jawab seseorang di belakangnya.
     Sofia segera berpaling ke belakang. Seorang pelajar bernama Dinzley dari kelas sebelah sedang berdiri dibelakangnya sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.
     "Dia dengar ke apa yang aku cakap tadi? Rasanya aku cuma bercakap dalam hati sahaja, tidak mungki dia boleh tahu isi hati aku. Atau, dia ni ada ilmu membaca isi hati orang kah?" Sofia mula mengarut. Dia memang cepat mancarut jika terkejut. Memang dasar otak kartun.
     "Err. Saya Dinzley, pelajar 5 Tun Sri Lanang. Saya boleh meminjamkan nota-nota saya jika awak mahu." Dinzley berbicara apabila mendapati Sofia hanya diam seribu bahasa.
     "Ya, saya tahu. Err, tidak menyusahkan awak kah? Lagipun, kita berlainan kelas." Tanya Sofia ragu-ragu.
     "Tidak. Malah, saya berasa senang hati jika dapat membantu awak. Kita jumpa di perpustakaan pada waktu rehat esok ya." Dinzley tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia mahu berjumpa dengan Sofia lagi.
     "Berjumpa pada waktu rehat? Untuk apa?" Sofia menanyakan soalan yang agak bodoh sekali. Otaknya tidak berfungsi dengan baik sekarang ini. Mungkin kerana masih terkejut dengan kehadiran jejaka itu.
     "Supaya senang saya mahu meminjamkan nota-nota saya kepada awak." Jawab lelaki itu dengan penuh sabar serta disusuli dengan sebuah senyuman yang cukup menawan. Jika senyuman itu dihadiahkan kepada gadis-gadis yang perasan hot di sekolah itu, sudah tentu mereka tergedik-gedik bagai cacing kepanasan.
     Sofia menganggukkan kepalanya. "Baiklah." Sepatah yang dijawab Sofia sebelum berlalu pergi.
     Dinzley mangangkat ibu jarinya ke arah teman-temannya yang berada di astaka tidak jauh dari situ. Dia bersorak keriangan. Sudah dua tahun dia memerhatikan Sofia. Akhirnya, ada juga satu perkembangan yang cukup menyenangkan hati.
                                                             
 
     Sofia terasa dunianya gelap gelita. Tiada lagi suara manja mamanya. Tiada lagi usikan-usikan nakal Aqil. Hilang sudah segala pesanan-pesanan ringkas dari si Jejaka Sunyi. Segala-galanya lenyap. Yang ada di depan matanya kini hanyalah seorang lelaki yang berjubah putih serta berserban. Muka lelaki itu tidak kelihatan tetapi dia tahu ianya pasti menggerunkan. Atau mungkin, ajalnya sudah sampai? Oh tuhan, dia belum meminta ampun daripada ibunya.
     "Sofia Aqilah Binti Marzuki."
     "Ya.. sa... saya." Sofia tergagap-gagap. Meremang bulu romanya.
     Lelaki itu mula bersyarah mengenai hukuman menderhaka kepada ibu bapa. Jantung Sofia berdetak laju. Dia takut. Dia terasa seperti mahu menangis semahu-mahunya. Tetapi dia tahu, jika dia menangis air mata darah sekalipun, tiada siapa dapat membantunya. Saat ini, dia terasa seperti mahu mencium tapak kaki ibunya dan memohon maaf. Tapi dia tahu, neraka adalah tempatnya. Bukankah Ustaz Khairul pernah berkata 'anak yang tidak diampunkan oleh ibunya, maka nerakalah masa depannya.'
     Tiba-tiba dia terdengar suara Ustaz Khairul memanggil namanya berulang kali dan disusuli dengan gelak ketawa rakan sekelasnya. Suara sengau Aqil juga turut menyapa gegendang telinganya. Apa yang telah terjadi? Dimanakah aku sebenarnya?
     "Awak sedang bermimpi di dalam kelas saya, wahai Tuan Puteri Sofia. Penat saya berceramah mengenai hukuman menderhaka kepada ibu bapa, awak pula sibuk terlentang di bawah lantai ini." Jawab Ustaz Khairul sambil menahan tawanya. Dia mahu marah, memang dia tidak suka muridnya tidur semasa dia mengajar. Tetapi, murid yang ini agak ganjil sedikti. Pelajar yang tergolek seperti nangka busuk ini telah berjaya menggeletek tangkai hatinya. Alahai Sofia.....
     Sofia membuka mata dan terkejut apabila mendapati dirinya sedang terbaring di atas lantai. Ya, dia masih hidup. Dia berada di atas lantai, paling tepat di bawah meja kelasnya. Dia masih di dalam kelas Tingkatan 5 Tun Teja. Tiba-tiba wajah bengis Ustaz khairul menyapa layar matanya. Dia juga sedar bahawa 36 pasang mata di dalam kelas itu sedang memerhati ke arahnya. Aduh, malunya. 
     "Bagaimana aku boleh tertidur? Siap bermimpi lagi." Sofia mengomel kepada dirinya sendiri.
     "Aduh malunya. Sakit pinggang pula. Tidak berguna betullah aku ni. Memalukan sahaja." Sofia terus-terusan mengutuk dirinya sendiri.
                                                               
   
     Seperti yang dijanjikan, tepat jam 10.00 pagi, Sofia sudah terpacak di hadapan perpustakaan sekolahnya. Semangat betul dia. Dia adalah pelajar pertama yang menjejakkan kaki ke dalam perpustakaan itu pada hari ini. 
     Sepuluh minit berlalu, batang hidung Dinzley masih tidak kelihatan dimana-mana.
     "Mana dia ni? Atau, dia sengaja mahu mengenakan aku." Sofia mula serkap jarang.
     "Awak mencari saya?" Sapa Dinzley dari arah belakang.
     "Awak lambat dua belas minit." Sofia mencebikkan bibirnya tanda protes.
     "Saya sudah lama terpacak di belakang awak. Awak sahaja yang sibuk memandang ke arah pintu itu." Balas Dinzley sambil memuncungkan mulutnya ke arah yang dimaksudkan.
     Sofia menoleh sekilas ke arah yang dimaksudkan. Dia tergamam. Sepasang mata milik Aqil sedang memandang tepat ke arah mereka. Mata mereka bertembung. Cepat-cepat dia membuang pandang ke arah lain. Aqil terus merenungnya. Sofia rasa tidak sedap hati. Dinzley tersenyum sinis.
     "Err, mana nota yang awak mahu pinjamkan kepada saya?" Tanya Sofia cuba mematikan suasana hening itu.
     "Oh, ini dia." Dinzley menghulurkan 3 keping buka nota ke tangan Sofia.
     "Terima kasih." Jawab Sofia sepatah sebelum berlalu pergi.
     Kenapa Aqil merenung kami begitu? Apa yang tidak kena dengan dia? Dia cemburukah? Tetapi itu mustahil. Dia dan Aqil umpama langit dengan bumi. Jauh panggang dari api.
                                                                 
   
     "Kenapa aku rasa semacam sahaja? Ishh... tidak mungkin." Aqil menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tiba-tiba bayangan The Lonely Girl muncul di mindanya. Terus sahaja dia mencapai komputer ribanya dan mencari nama The Lonely Girl di kotak Yahoo Messanger nya. Hatinya teruja apabila melihat The Lonely Girl berada di talian. Kalau tadi fikirannya runsing, kini tidak lagi. Almaklumlah, buah hati di depan mata.
     Tiba-tiba pesanan ayahnya hinggap di fikiran.
     "Jangan terlalu teruja dengan rakan siber. Ayah takut suatu hari nanti hatimu punah nak. Bagaimana kalau perempuan itu tidak seperti yang kamu bayangkan?" Kata-kata ayahnya terus terngiang-ngiang di telinga.
                                                             
   
     Sofia duduk bersila di atas katil sambil teringatkan kejadian siang tadi. Bagaimana agaknya aksi dia sewaktu tergolek di dalam kelas tadi ya? Tiba-tiba dia teringat akan mimpinya siang tadi. Mungkin ibunya perlukan seorang teman hidup. Ya, ibunya masih muda. Ayahnya pula pergi terlalu awal. Sudah lima tahun ayahnya pergi. Pasti hidup ibunya sunyi. Sofia nekad. Dia perlu memohon maaf kepada ibunya.
     Puan Filza sedih, dia terlalu rindukan Sofia. Sudah sebulan lebih mereka tidak bertegur sapa. Sampai bila agaknya anaknya itu mahu memboikot dirinya? Dia tahu hati anaknya terluka. Dia juga rasa bersalah. Dia tahu dia berdosa kepada Marzuki. Dia juga tahu bahawa sesungguhnya syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suaminya. Dia juga sudah nekad, dia akan menerima lamaran Daud. Tetapi, dapatkah Sofia menerima segala-galanya?
     "Maafkan Filza bang." Puan Filza mendongak ke langit. Dia berharap agar suaminya akan memaafkannya.
     "Ibu." Sofia menegur perlahan.
     "Sofia." Puan Filza seperti tidak percaya. Betulkah anaknya yang sedang menegurnya di saat ini? Dia keliru. Mimpi apa pula Sofia pada malam-malam buta begini?
     Sofia terus mendakap ibunya. Puan Filza membalas dakapan anaknya dan dengan serta merta air mata membasahi pipi kedua-dua beranak itu.
     "Maafkan Sofia, ibu." Katanya dalam sendu.
     "Maafkan ibu juga, nak." Balas si ibu teresak-esak. Bulan dan bintang di malam yang pekat menjadi saksi bahawa dua beranak itu sudah saling bermaafan.
                                                               
   
     "Ibu, doakan saya supaya pasukan saya menang ya." Kata Sofia dengan ceria sekali.
     "Sudah tentu. Main sungguh-sungguh ya. Jaringkan bola dengan tepat, jangan berangan pula." Laung Puan Filza sambil melambai ke arah anaknya yang semakin hilang daripada pandangan.
     Puan Filza lega. Akhirnya dia sudah mendapatkan kembali anaknya yang dulu. Sofia yang ceria dan boleh dibawa bergurau. Bukannya Sofia yang pendiam dan kaku.
                                                                 
   
     Hari ini Aqil ke sekolah  dengan penuh semangat dan keterujaan. Dia punya satu rancangan jahat yang bakal dilaksanakan kepada Sofia. Dia menyimpan balang yang berisi seekor lipas  itu ke dalam begnya dengan kemas sekali.
     "Siaplah kau hari ini." Aqil tersenyum sendirian.

     Sekali lagi Sofia membelek dirinya di dalam cermin tandas itu. Setelah siap menyarungkan jersi yang diberikan oleh Cikgu Fadzilah, dia menyapu sedikit sun block ke mukanya. Dengan penuh semangat, dia melangkah keluar dari tandas.
     Sesaat, dua saat, tiga saat..." Aqil membilang di dalam hati.
     "Lipas!! Tolong! Lipas!" Sofia menjerit ketakutan apabila seekor lipas yang sebesar ibu jari itu hinggap di bahunya. Lipas itu landing dengan cantik sekali. Seperti sudah dilatih pula.
     Aqil tersenyum kepuasaan. Dia mahu melangkah pergi, tetapi niatnya terbantut apabila Dinzley datang membantu Sofia.
     "Huh, mahu berlagak hero konon." Desis Aqil.
     "Sofia, awak tidak apa-apa?" Tanya Dinzley, panik.
     "Lagi mahu tanya, tidak nampakkah yang dia sudah terjerit-jerit seperti orang gila dan menggelupur seperti kena sawan. Sudah tentulah dia ada masalah." Sempat lagi Aqil mengutuk.
     "Lipas!" Jerit Sofia.
     Dinzley mengambil lipas yang bertenggek di bahu Sofia dengan penuh gaya. Lagaknya seperti seorang hero pula.
     Sofia terduduk dengan wajah yang pucat. "Terima kasih." Ucap Sofia. Kembang-kempis hidung Dinzley dibuatnya. Iyalah, siapa yang tidak gembira apabila dipuji oleh sang pujaan hati.
     Dinzley membantu Sofia bangun. Mereka berjalan beriringan ke arah bas yang sedang menunggu. Bas itu sudah ditempah khas untuk para pelajar SMK Tuanku Badlishah yang akan mewakili sekolah mereka dalam perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring.
     Aqil sakit hati dan geram. Entah mengapa dia berasa tidak puas hati melihat Sofia berdua-duaan dengan Dinzley. Sudahlah lelaki itu menghancurkan rancangannya sebentar tadi. Aqil berjalan ke arah bas dengan lemah longlai dan perasaan tidak puas hati bercampur geram.
                                                         
   
     Mereka tiba di SMK Tun Mutahir pada jam 9.00 pagi. Mereka telah dijamu dengan sedikit kuih-muih sebelum perlawanan bermula. Aqil duduk di bawah satu pohon rendang bersama kamera Digital SLR nya. Dia disuruh turut serta pada hari itu sebagai wakil dari kelab sidang redaksi untuk menjadi juru gambar. Tiba-tiba dia mendapat satu idea yang sungguh bernas.
     Dia berjalan ke arah Dinzley dengan memegang segelas jus oren. Tiba-tiba jus oren itu tertumpah ke atas jersi yang dipakai Dinzley.
     "Oh, Sorry. Really really sorry. Saya tidak sengaja." Tutur Aqil sambil membuat mimik muka kasihan. Dia terus berlalu pergi. Dinzley merengus geram.
     Sebenarnya, kejadian itu bukanlah satu kebetulan tetapi memang sudah dirancang dengan teliti oleh Aqil.
     Perlawanan diteruskan. Pasukan bola sepak lelaki tewas 3-2. Manakala pasukan bola jaring pula pulang dengan wajah yang ceria dan sebuah senyuman kemenangan.
                                                             
   
     Aqil pulang ke rumah dengan badan yang berpeluh dan masam. Dia keletihan. Walaupun hanya sebagai jurugambar, letihnya mengalahkan orang yang bermain bola sepak pula. Dasar anak manja. Baru berpanas-panasan sedikit sudah tidak tahan. Tanpa berlengah, terus sahaja Aqil membersihkan diri. Dia bukan sahaja sekadar mandi biasa, malah dia berendam di dalam tab mandi sehingga hampir sejam setengah. Manjanya mengalahkan orang perempuan pula!
     Tiba-tiba hatinya tergerak mahu melawat blog The Lonely Girl. Sebaik sahaja membuka laman blog itu, hatinya terasa bagai mahu pecah, jantungnya mahu gugur dan perutnya yang baru sahaja disumbat dengan pelbagai jenis makanan hidangan tengah hari tadi terasa bagai mahu meletup.
     Ya Allah, betulkah apa yang dilihatnya ini? Di situ terpampang segala gambar yang diambilnya sewaktu perlawanan tadi. Gambar-gambar itu baru sahaja dimuat naikkan ke laman 'muka buku'nya. Tetapi kini gambar-gambar itu jelas terpampang di dalam blog The Lonely Girl. Di bawah sekali terdapat satu nota kaki yang berbunyi "Gambar-gambar ini aku ciplak dari facebook Aqil. Tidak mengapa, dia tidak akan tahu." Ya, memang tadi dia tidak tahu tetapi sekarang dia tahu.
     Tetapi, bukan itu yang dikisahkannya. Antara gambar-gambar itu ada juga gambar yang telah diedit. Penciplak gambar-gambar itu membulatkan salah satu gambar Sofia dan menandakannya dengan perkataan 'SAYA'. Yang lebih memeranjatkan lagi adalah kerana tuan punya blog itu turut menulis satu entry mengenai 'Lipas terbang hinggap dibahunya'. Dan itu menguatkan lagi teori Aqil bahawa The Lonely Girl itu sebenarnya adalah Sofia. Oh tidak!
     "Ya Tuhan, bala apa yang kau turunkan kepada hamba-mu ini?" Aqil terasa seperti mahu meraung!

                                                            BERSAMBUNG