Insan Tak Berdosa (BAB 2)

   

     Jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Sofia tidak boleh melelapkan matanya. Payah rasanya mahu melelapkan mata. Dia rasa bersalah, dia rasa berdosa, dia geram dan dia juga buntu.
     Dia rasa bersalah kepada ibunya. Dia rasa berdosa kerana meninggikan suara terhadap ibunya. Dia takut, dia takut jika Allah mengambil nyawanya ketika dia tidur dan dia tidak sempat meminta maaf kepada ibunya. Jika itu bernar-benar terjadi, dia bakal digelar ana derhaka dan sekaligus dia juga telah menempah tiket ke neraka. Perlukah dia meminta maaf kepada ibunya?
     Tetapi, bukankah ibunya telah melakukan sesuatu yang salah disisi agama? Tidak bermakna dia anak, maka dia tidak punya hak untuk menegur ibunya. Sofia bingung. Dia betul-betul runsing.

   
     Aqil duduk diam dan merenung skrin komputer ribanya. Puas dia memerah otak mencari idea bagi menulis di dalam blognya. Malangnya, secebis idea pun tidak mahu hinggap ke mindanya. 
     "Arghhh! Lebih baik aku 'blogwalking' sekejap. Mana tahu nanti dapat idea." Dia mengomel sendiri.
     Tiba-tiba dia terjumpa sebuah blog yang menarik perhatiannya. Di situ penuh dengan coretan hati seorang gadis. Dengan sekelip mata dia rasa bagai jatuh cinta pula. Memang seronok jika dapat mengetahui kisah hidup orang lain. Maklumlah dia kan sering bersendirian. 
     Kisah hidup gadis ini lebih kurang sahaja dengan dirinya. Mereka sama-sama kesunyian. Kalau gadis itu The Lonely Girl, maka dialah The Lonely Boy. Jika perempuan itu boleh diibaratkan sebagai Gadis Sunyi, justeru sudah pastilah dia si Jejaka Sunyinya. Hehehe
     "Sudah angau aku ni agaknya. Tapi, mana mungkin budak tampan seperti aku hanya angau dengan sebuah blog." Aqil mencebik bibir.
     "Atau mungkin, aku terpikat dengan tuan punya blog?" Aqil ketawa sendiri apabila mengenangkan  sikapnya yang agak gila-gila itu.
                                                             
     
     Tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum berlangsungnya pertandingan bola jaring antara SMK Tuanku Badlishah menentang SMK Tun Mutahir. Sofia telah terpilih untuk mewakili pasukan bola jaring sekolah dalam perlawanan persahabatan yang dianjurkan oleh SMK Tun Mutahir.
     "Perhatian kepada semua ahli pasukan bola jaring yang telah berjaya dipilih bagi mewakili pertandingan persahabatan yang akan datang. Sila berkumpul di dewan pada jam 1.30 petang. Terima kasih." Suara Puan Fadzilah yang sedia nyaring itu kedengaran seperti memberi arahan yang sangat tegas dan garang. Dia memang cukup pantang kalau ada di antara pelajarnya yang tidak menepati waktu dan bermain-main sewaktu latihan. Pernah sekali Sofia terlambat menghadiri latihan akibat terlewat bangkit daripada tidur. Semuanya gara-gara jam loceng yang kehabisan bateri. Sebagai denda, dia dipaksa oleh Puan Fadzilah untuk berjalan itik keliling padang dengan menyarung kain batik. Hampir semua ahli pasukan bola jaring telah merasa penangan kain batik itu sehingga ia digelar sebagai 'batik bepuaka' oleh para pelajar. Mana tidaknya, kain batik itu sentiasa berada di dalam beg tangan Puan Fadzilah, menunggu masa untuk memberatkan lagi hukuman kami barangkali. Pun begitu, mana ada guru yang ingin menyeksa anak muridnya tanpa sebab. Kain puaka itulah sebenarnya yang banyak membantu menaikkan stamina dan memantapkan fizikal para pemain. Masakan tidak mantap, hampir setiap hari pasti ada sahaja yang akan menjadi mangsa kain berpuaka itu!
      Pada awalnya, Sofia menarik nafas lega kerana pada sangkaannya, apalah sangat setakat keliling gelanggang bola jaring ini. Selepas beberapa ketika, barulah akalnya yang lembap beroperasi itu dapat menghadam segala perintah Puan Fadzilah dengan betul dan lengkap. Ya, bukan keliling gelanggang tetapi keliling padang! Biasanya hanya di keliling gelanggang, mungkin mood jurulatihnya itu kurang baik hari ini. Nasib badan!
     Betapa malunya dia sewaktu itu hanya Sang Pencipta yang tahu. Sejak kejadian itu, dia bukan sahaja digelar sebagai Gadis Pembawa Malang  oleh Aqil malah, Aqil turut menggelarnya sebagai "Gadis Itik". Setiap kali mereka berselisih, Aqil pasti menyebut 'Quack Quack Quack. Perkataan itu seperti sudah menjadi perkataan keramat buatnya.
                                                             
    
     "Huh, panasnya cuaca hari ini." Sofia merungut di dalam hati. 
     "Alangkah indahnya kalau boleh naik teksi ke Suria Klcc. Mahu naik bas, nanti terpaksa bersempit-sempit pula. Naik teksi sahajalah." Dia mengomel lagi.
     Selang beberapa minit kemudian, dia ternampak sebuah teksi sedang mara ke arahnya. Tanpa berlengah lagi, Sofia terus menahan teksi itu. Tanpa dia sedari, ada seorang jejaka di seberang jalan sana yang turut menahan teksi yang sama.
     Sofia membuka pintu teksi itu. Serentak dengan itu, pintu disebelah turut terbuka dan terjegul wajah seorang lelaki yang amat dikenalinya.
     "Suria Klcc." Serentak mereka berkata.
     Sofia tidak mahu mengalah, terus sahaja dia memboloskan dirinya ke dalam perut teksi itu. Lelaki itu juga enggan mengalah. Masing-masing keras kepala dan mempunyai ego yang setinggi KLCC. Tanpa banyak bicara, pemandu teksi itu terus sahaja memandu ke destinasi yang ingin dituju.
     Berdua-duaan dengan Aqil di dalam teksi? Oh tidak! Dia tidak pernah menginginkan sesuatu yang begitu tapi apakan daya, dia sekarang terperangkap dengan seorang jejaka sombong di dalam sebuah teksi usang milik seorang apek tua.
                                                         
  
     Sesampai sahaja di KLCC, Sofia dengan lajunya melompat keluar dari teksi itu dan langsung tidak menoleh kebelakang lagi. Dalam hati sempat dia berharap supaya Aqil yang membayar tambang teksi itu. Dia puas kerana dapat mengenakan Aqil.
     Sofia terus sahaja menuju ke salah sebuah kedai buku yang terletak di tingkat 4. Niatnya mahu membeli buku cerita 'Kelab Gadis Ayu' karya Zaryl Amzari. Ketika dia sedang khusyuk membelek buku itu, dia terpandang sepasang kasut yang sangat dikenalinya.
     "Oh Tuhan. Tidak sekali lagi." Sofia berdoa di dalam hati.
     Tepat seperti yang dijangkakan. Safiey Aqil sedang berdiri rapat disebelahnya. Di tangannya terdapat sebuah buku novel berwarna biru yang bertajuk 'Kelab Jejaka Tampan' karya Zaryl Amzari.
     "Eh, itu buku Kelab Gadis Ayu bukan? Awak mahu beli ya?" Soal Aqil selamba.
     "Tidaklah. Saya mahu mencuri." Jawab Sofia sambil menjeling geram ke arah Aqil.
     "Oh ya? Awak mahu saya panggilkan pak guard tu? Tolong! Ada orang mahu mencuri buku!" Balas Aqil sambil menjerit gaya manja.
     Sofia yang malas mahu melayan, terus berlalu ke arah kaunter untuk membuat bayaran. Tiba-tiba Aqil mencelah, dia meletakkan novel yang mahu dibelinya di atas kaunter.
     "Dia yang bayar ya kak? Kata Aqil sambil menundingkan jarinya ke arah Sofia.
     Sofia menghentakkan novelnya di atas kaunter dan dengan secara automatik matanya terbeliak. Hampir gugur jantung penjaga kaunter itu. Aqil berlalu dengan muka yang tidak bersalah.
     Selesai membayar, Sofia bergerak ke bahagian hadapan kedai. Dia mencari kelibat Aqil, malangnya batang hidung jejaka tampan itu sudah hilang dari pandangan. 
                                                             
     

     Aqil tersenyum seorang diri di hadapan laptopnya apabila menyedari TheLonelyGirl membalas Yahoo Messenger nya. Kembang kuncup hatinya di kala ini.

 JejakaSunyi : Hai, boleh berkenalan? Saya peminat blog awak!   

 LonelyGirl   : Hai. Err, oh. Berkenalan?    

JejakaSunyi : Ya, jangan risau. Saya cuma mahu berkenalan sahaja.   

 LonelyGirl   : Sure. No problem.

     Sofia menutup komputer ribanya sambil tertanya-tanya. Belum pernah ada lagi peminat blognya yang beriya mahu berkenalan dengannya sehingga berkomunikasi menggunakan Yahoo Messenger. Paling tidak pun mereka hanya akan meninggalkan jejak di chatbox, berkawan di facebook ataupun follow di twitter. Siapa sebenarnya si jejaka sunyi? Mengapa dia ingin berkenalan dengan saya? Pelbagai soalan bermain di mindanya ketika ini. Tidak cukup dengan masalah Aqil, sekarang muncul pula si jejaka sunyi.
     "Tidak mengapalah. Dia cuma mahu berkenalan sahaja. Lagipun aku juga memerlukan seorang kawan untuk meluahkan perasaan dan dijadikan teman bersembang." Sofia cuba menyedapkan hatinya sendiri. 
                                                             

     Sofia bergerak ke arah Aqil yang sedang menelaah mata pelajaran Sejarah lalu meletakkan buku novel 'Kelab Jejaka Tampan' karya Zaryl Amzari di hadapan lelaki itu. 
     "Nah, buku awak." Kata Sofia sambil menghulurkan tapak tangannya di hadapan muka Aqil.
     "Awak mahu apa?" Kata Aqil sambil mengerutkan dahinya. Dia pura-pura tidak tahu.
     "RM20.50. Saya tambah 50 sen sebagai cukai sebab awak telah menyusahkan saya." Kata Sofia selamba.
     "Kalau saya tidak mahu bayar?" Cabar Aqil.
     "Siapa mahu tahu? Jejaka tampan anak orang kaya yang selalu berlagak cool ini tidak mampu membayar harga sebuah novel." Suara Sofia yang kuat dan lantang itu mengejutkan semua pelajar Tingkatan 5 Tun Teja. 
     Aqil yang tidak sangka dengan tindakan sofia itu menyilangkan tangannya dan bersandar pada kerusi. Dengan perlahan, dia menyeluk saku seluar sekolahnya dan mengeluarkan 2 keping not RM10.
     "Saya tolak 50 sen sebab tolong bayarkan tambang teksi awak." Balas Aqil tidak puas hati.
     Sofia mengambil duit RM20 itu dan berlalu pergi. Aqil hanya memandangnya dengan mata yang sengaja dikecilkan.
     "Ada ubi ada batas, ada hari aku balas." Kata Aqil sambil tersenyum sinis.

                                              BERSAMBUNG