Insan Tak Berdosa (BAB 1)

                                                             


     Sofia termenung di tepi tingkap biliknya, mencari ilham bagi menghabiskan novelnya yang separuh siap. Tiba-tiba fikirannya teringat kepada bapanya yang telah lama meninggal dunia.

     "Kau pergi terlalu awal ayah." Dia berbisik sendiri.
     "Kalaulah engkau tahu yang anak mu ini terlalu merindukan dan menginginkan mu di saat ini. Ayah, doakanlah anakmu ini semoga dia lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan SPM tidak lama lagi." Rintihnya lagi.

                                                             

     Hari ini, sekolah dibuka seperti biasa menandakan sesi persekolahan penggal kedua telah pun bermula. Hujan yang turun renyai-renyai tidak menghalang segerombolan manusia yang dipanggil pelajar untuk terus sekolah. Sofia merasa sungguh gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan sekelasnya. Sebaik sahaja masuk ke dalam kelas, dia terpandang seseorang yang sangat dimusuhinya sejak di Tingkatan Satu. Ya, Safiey Aqil. Seorang yang pendiam tetapi suka mencari fasal dengan Sofia.
     Sofia masih ingat lagi peristiwa hitam yang terjadi di antara dia dan Aqil. Betapa malunya Sofia ketika itu. Dia diherdik dan dimaki hamun oleh Aqil di hadapan orang ramai pada hari pertama persekolahan sewaktu di Tingkatan Satu. Sofia dengan tidak sengaja terlanggar Aqil dan lebih malang lagi apabila semangkuk Mi Kari yang dipegang oleh Sofia tercampak ke arah Aqil. Lamunannya terhenti kerana diganggu oleh satu suara garau.  Ya, dia pasti suara itu milik Aqil.
     "Termenung nampak. Awak berangan ye?" Sapa Aqil dengan senyuman enteng terhias di bibirnya.
     "Nenek saya selalu kata, orang perempuan kalau kuat berangan nanti kahwin dengan lelaki tua." Sakat Aqil sambil cuma memarakkan api kemarahan Sofia.
     "Awak mahu apa? Belum puas menyakitkan hati saya ya?" Balas Sofia dengan suara yang agak meninggi. Beberapa pasang mata di dalam kelas itu hanya memandang mereka tanpa reaksi. Menunggu babak pergaduhan yang seterusnya barangkali.
     "Saya cuma mahu mengingatkan awak, jangan mandikan saya dengan Mi Kari lagi ye." Kata Aqil dengan sinis sekali.
     Sofia sudah lali dengan perbuatan Aqil. Sudah berkali-kali dia disindir begitu. Telinganya sudah naik beku dengan semua ayat lelaki itu. Matanya juga hampir sahaja rabun akibat panahan daripada senyuman enteng Si Aqil. Mahu sahaja dia gigit-gigit bibir jejaka tampan itu sehingga lunyai!

                                                               

     Kringgg... Kringgg!

     Loceng sudah berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari perkarangan sekolah. Masing-masing sibuk untuk pulang ke rumah tetapi tidak bagi Sofia. Dia lebih suka menghabiskan hari-harinya di sekolah. Bagi Sofia, tiada gunanya dia pulang ke rumah kerana bukannya ada sesiapa pun di rumah. Rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah di atas bukit itu sentiasa sunyi. Puan Filza, ibu kepada Sofia sentiasa sibuk dengan tugasan hariannya. Puan Filza mempunyai 6 buah cawangan butik di sekitar kawasan Kuala Lumpur. Butiknya yang digelar Filza De' Boutique adalah antara butik-butik yang terkenal dan seringkali menjadi tumpuan datin-datin yang gemar membeli belah.
     Sofia pulang ke rumah dengan muka yang monyok dan perasaan yang tidak terkata. Susah mahu menggambarkan perasaannya ketika ini. Dia terkejut apabila melihat ibunya sedang berdua-duaan dengan lelaki lain di dalam rumah mereka.
     "Ibu!!" Jerit Sofia. Dia sudah hilang sabar melihat perbuatan ibunya. Puan Filza terpinga-pinga apabila terdengar sergahan anaknya.
     "So.. So... Sofia. Ibu... ibu tak sengaja."
     "Tak sengaja ibu kata? Ibu jangan ingat saya ni bodoh sangat. Saya nampak ibu. Ibu memang sengaja!" Bentaknya lagi.
     "Apa ibu sudah tidak sayang lagi kepada arwah ayah sehingga sanggup melakukan perkara keji seperti ini?" Tokoknya lagi. Betapa panas hatinya ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Badannya menggigil. Giginya terketar-ketar menahan geram. Kalau tadi dia rasa seperti malas mahu pulang ke rumah, sekarang dia rasa seperti mahu lari sahaja dari rumah ini.
     Sofia naik ke biliknya dan menangis sepuas-puasnya. Dia sedih dan malu dengan sikap ibunya. Apa ibunya sudah tidak takut dosa? Tidakkah ibunya tahu tentang hukum-hukum agama? Tiba-tiba seraut wajah yang amat dikenali muncul dimindanya. Wajah itu, seraut wajah yang tenang dan suci itu milik ayahnya. Ya, Marzuki Bin Hamdan. Dia seorang yang tenang dan sentiasa sabar. Pasti ayahnya sedih di sana. Ayahnya pasti kecewa jika mengetahui tentang perbuatan ibunya itu. Ayah, kalaulah kau masih ada...
                                                               

     Puan Filza sungguh menyesal atas apa yang terjadi. Dia puas meluangkan masa dengan Daud sehingga terlupa yang hari sudahpun petang. Dia terlupa yang anaknya akan pulang pada waktu itu. Dia sayangkan anaknya. Sofia, satu-satunya anak yang dia ada. Dia tidak mahu kehilangan anaknya. Dia perlu mengubah kembali keadaan sebelum terlambat tetapi, dia buntu. Apa yang perlu dia lakukan? Dia sayangkan anaknya, dia juga sayangkan Daud. Akan tetapi, dia tidak pernah sayangkan Marzuki. Dia berkahwin dengan Marzuki bukan atas dasar cinta tetapi lebih kepada kerana terpaksa.
     Daud adalah buah hatinya, dari dulu sehinggalah sekarang. Tiada siapa yang akan dapat menggantikan tempat Daud di dalam hatinya.

                                                          BERSAMBUNG