Warkah Buat Warisan Bangsa

Lihat itu,
Lihat langit biru,
Burung-burung berkicauan,
Keliru, serabut, tidak lagi bersatu.

Lihat laut itu,
Airnya deras memamah bumi,
Ombaknya berolak memberontak,
Dek kerna sikap manusia.

Lihat kehijauan alam itu,
Daunnya gugur ke bumi,
Dahan ditebang habis diganti konkrit,
Mereka marah, mogok tidak mahu tumbuh lagi.

Lihat fauna itu,
Mereka lari bertempiaran,
Berada dalam ketakutan,
Mencari hala tuju, tiada nur kehidupan.

Wahai generasi baru,
Tataplah anugerah Ilahi itu,
Janganlah engkau lenyapkan ia,
Kerana mereka penentu masa depanmu.

Aku hanya insan biasa,
Datang membawa segenggam harapan,
Ini bukan sekadar peringatan,
Tetapi merupakan sebuah warkah kesejahteraan.